Tuesday, August 2, 2011

PROGRAM RAMADHAN BERSAMA RAKYAT SULTAN KELANTAN

Alhamdulillah, sepanjang bulan Ramadhan yang berkat ini, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, sekali lagi akan meluangkan masa Baginda untuk berbuka puasa dan bersolat bersama rakyat di seluruh pelosok negeri.

Lebih indah lagi, jika pada tahun lalu keberangkatan Baginda ke majlis-majlis ini adalah di atas kapasiti Baginda selaku Pemangku Raja Kelantan, pada tahun ini ia dibuat di atas kapasiti Baginda selaku Sultan Kelantan pula.

Seperti sebelumnya, Baginda juga berkenan menganugerahkan sedikit kurniaan kepada rakyat yang kurang bernasib baik, sama ada di dalam majlis pengurniaan khas atau melalui keberangkatan Baginda ke rumah-rumah mereka.

Sebagai makluman, disertakan di sini lokasi-lokasi yang telah dan akan dikunjungi oleh Sultan Kelantan di dalam program keberangkatan Baginda bersama rakyat pada bulan Ramadhan ini:

1. 1 Ramadhan 1432 bersamaan 1 Ogos 2011 (Isnin): Masjid Kuala Betis, Gua Musang.

2. 2 Ramadhan 1432 bersamaan 2 Ogos 2011 (Selasa): Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

3. 3 Ramadhan 1432 bersamaan 3 Ogos 2011 (Rabu): Masjid Mukim Tendong, Pasir Mas.

4. 4 Ramadhan 1432 bersamaan 4 Ogos 2011 (Khamis): Masjid Mukim Bukit Panau, Tanah Merah.

5. 6 Ramadhan 1432 bersamaan 6 Ogos 2011 (Sabtu): Masjid Mukim Hutan Puteh, Pangkal Meleret, Machang.

6. 8 Ramadhan 1432 bersamaan 8 Ogos 2011 (Isnin): Masjid Mukim Bunut Sarang Burung, Tumpat.

7. 10 Ramadhan 1432 bersamaan 10 Ogos 2011 (Rabu): Masjid Mukim Paya Rambai, Kota Bharu.

8. 11 Ramadhan 1432 bersamaan 11 Ogos 2011 (Khamis): Masjid Ahmadi, Kemumin, Pengkalan Chepa.

9. 12 Ramadhan 1432 bersamaan 12 Ogos 2011 (Jumaat): Masjid Mukim Nipah, Bachok.

10. 14 Ramadhan 1432 bersamaan 14 Ogos 2011 (Ahad): Masjid Mukim Melor, Kota Bharu.

11. 17 Ramadhan 1432 bersamaan 17 Ogos 2011 (Rabu): Masjid Salam, Kota Bharu.

12. 19 Ramadhan 1432 bersamaan 19 Ogos 2011 (Jumaat): Masjid Mukim Peringat, Kota Bharu.

13. 21 Ramadhan 1432 bersamaan 21 Ogos 2011 (Ahad): Masjid Mukim Padang Bongor, Kota Bharu.

14. 23 Ramadhan 1432 bersamaan 23 Ogos 2011 (Selasa): Masjid Pintu Geng, Kota Bharu.

15. 25 Ramadhan 1432 bersamaan 25 Ogos 2011 (Khamis): Istana Balai Besar, Kota Bharu.

Seluruh golongan rakyat yang berhajat untuk berbuka puasa dan bersolat bersama Sultan Kelantan adalah dipersilakan untuk menghadiri majlis-majlis ini.

Monday, August 1, 2011

CINTA SULTAN MUHAMMAD KE-V KEPADA AYAHANDANYA

Demi cinta, kasih dan sayang Baginda kepada paduka ayahanda Baginda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra, maka pada hari Khamis, 28 Julai 2011, lalu Sultan Kelantan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V, telah membuat satu keputusan yang bijaksana dengan menggunakan dana peribadi Baginda sendiri bagi menjelaskan kemudahan overdraf yang telah diberikan oleh CIMB Bank Berhad kepada paduka ayahanda Baginda sebelum ini yang nilai mutakhirnya berjumlah sebanyak RM2,731,550.

Sesungguhnya tindakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V ini merupakan satu pengorbanan terpuji yang didorong oleh keinsafan Baginda bahawa keadaan kesihatan paduka ayahanda Baginda sudah pasti tidak akan mengizinkan paduka ayahanda Baginda dari menjelaskannya sendiri. Inilah satu lagi petanda jelas betapa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V adalah seorang anak bertanggungjawab yang tidak pernah sama sekali melupakan jasa-jasa paduka ayahanda bonda Baginda.

Allahu Akbar.