Monday, November 8, 2010

PEMBETULAN KE ATAS LAPORAN AKHBAR-AKHBAR BERITA HARIAN DAN HARIAN METRO

Laporan akhbar-akhbar Berita Harian dan Harian Metro bertarikh 6 November 2010 bertajuk “Musa Hassan antara tiga ahli baru MPR Kelantan” dan “Musa jadi ahli MPR” adalah dirujuk.

Sukacita dimaklumkan bahawa perlantikan Tan Sri Musa Hassan dan Dato’ Zulkifly @ Ibrahim Abdul Rahman selaku ahli-ahli baru Majlis Penasihat Raja Kelantan pada 25 Oktober 2010 adalah dibuat bagi menggantikan tempat-tempat Dato’ Kamarulzaman Mohamed dan Raja Aman Shah Raja Shahar Shah, dan bukan bagi menggantikan tempat-tempat Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Amalin A-Ishah Putri.

Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Amalin A-Ishah Putri sebelum ini sebenarnya bukanlah merupakan ahli-ahli Majlis Penasihat Raja Kelantan tetapi adalah ahli-ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan manakala kekosongan yang berlaku di dalam Majlis Perajaan Negeri Kelantan ekoran keterlucutan Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Amalin A-Ishah Putri darinya sehingga kini masih lagi belum diisi.

Perlu ditegaskan di sini bahawa Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan Majlis Penasihat Raja Kelantan adalah dua entiti yang sama sekali berbeza, sama ada dari segi komposisi mahupun dari segi peranannya.

Komposisi Majlis Penasihat Raja Kelantan adalah terkandung di dalam Perkara 36 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang berbunyi:
(2) Majlis Penasihat Raja hendaklah mengandungi Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Tengku Mahkota serta ahli-ahli yang berikut, iaitu –
(a) Setiausaha Sulit kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang hendaklah menjadi Setiausaha Majlis itu;
(b) Mufti Kerajaan; dan
(c) Tidak kurang daripada lapan dan tidak lebih daripada enam belas orang ahli lain,
yang dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan ditandatanganinya dan dicop Mohor Negeri di antara mereka yang pada fikirannya telah menyumbangkan pekerjaan yang cemerlang kepada Kerajaan ataupun yang telah mendapat kepujian di dalam pekerjaan, perusahaan, pertanian, pergerakan-pergerakan pertanian atau perkhidmatan-perkhidmatan perubatan.

Komposisi Majlis Perajaan Negeri Kelantan pula adalah terkandung di dalam Perkara 7 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang berbunyi:
Majlis Perajaan Negeri hendaklah terdiri daripada yang berikut, iaitu –
(i) Yang di-Pertua;
(ii) Timbalan Yang di-Pertua;
(iii) Setiausaha Kerajaan yang hendaklah menjadi Setiausaha Majlis;
(iv) Mufti Kerajaan;
(v) Empat orang ahli Kerabat Diraja; dan
(vi) Tidak kurang daripada enam orang dan tidak lebih daripada dua belas orang lain yang hendaklah daripada bangsa Melayu dan rakyat Raja Negeri,
yang hendaklah dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Surat di bawah tandatangan Baginda dan Mohor Negeri dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, bertindak mengikut budi bicara Baginda, mempunyai hak dan kuasa untuk membatalkan perlantikan atau membuang dan melepaskan mana-mana ahli Majlis Perajaan Negeri.

Peranan utama Majlis Penasihat Raja Kelantan adalah terangkum di dalam Perkara 36(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang berbunyi:
Majlis Penasihat Raja Kelantan, yang digelarkan di dalam bahasa Inggeris “the Council of Advisers, Kelantan”, adalah dengan ini ditubuhkan bagi maksud menolong dan menasihatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menjalankan tanggungan-tanggungannya.

Peranan utama Majlis Perajaan Negeri Kelantan pula adalah terangkum di dalam Perkara 6 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang berbunyi:
Tidaklah boleh siapa-siapa pun menaiki Takhta dan Kerajaan Kelantan melainkan kenaikannya itu disahkan oleh Majlis Perajaan Negeri.