Saturday, September 18, 2010

POSTING 37: TERIMALAH SURATAN TAKDIR ILAHI

Belum terlewat rasanya untuk kami menyatakan kekesalan ke atas tindakan akhbar Kosmo! dan akhbar Utusan Malaysia pada 14 September 2010 melaporkan berita pemasyhuran Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, dari sisi negatif tatkala akhbar-akhbar lain melihatnya dari sisi positif.

Laporan akhbar Kosmo! bertajuk “Kerabat dakwa Kelantan kini ada dua sultan” dan laporan akhbar Utusan Malaysia bertajuk “Tuanku Ismail masih Sultan Kelantan” hanyalah diasaskan kepada kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Tengku Dato' Merjan Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dan Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah.

Cara pemberitaan kedua-dua akhbar ini menunjukkan sifat berat sebelah mereka di dalam melaporkan berita ini kerana mereka hanya mengemukakan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh kerabat yang menentang pemasyhuran dengan mengenepikan terus pandangan-pandangan kerabat yang menyokong yang jumlahnya jauh lebih besar.

Kemuncak kepada sifat berat sebelah mereka ini jelas terpapar di dalam laporan muka depan akhbar Kosmo! pada hari itu di mana laporan bertajuk “Keluarga pertikai pemasyhuran Tengku Faris” ini telah memuatkan perenggan-perenggan berikut:
(i) Krisis keluarga diraja Kelantan semakin meruncing selepas Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, 41, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa serta-merta.
(ii) Bagaimanapun, ahli-ahli keluarga diraja yang menyokong Sultan Kelantan yang gering, Sultan Ismail Petra, menyifatkan pemasyhuran tersebut yang turut melibatkan peranan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai tidak sah.

Penentangan Tengku Dato' Merjan dan Tengku Abdul Aziz ke atas pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra ini sebenarnya tidaklah mencetuskan sebarang krisis, apatah lagi krisis yang meruncing, di dalam keluarga diraja Kelantan kerana ia hanya berpunca dari satu pasangan suami isteri sahaja dan bukan dari majoriti ahli keluarga diraja.

Penentangan Tengku Dato' Merjan dan Tengku Abdul Aziz ini, selain tidak mempunyai sebarang asas yang kukuh, juga tidak memberi sebarang impak yang besar ke atas keluarga diraja kerana ia telah di“offset” oleh sokongan kuat anakanda mereka, iaitu Tengku Panglima Raja Kelantan, Tengku Dato' Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, ke atasnya.

Jika hendak dikatakan penentangan Tengku Dato' Merjan adalah kuat kerana beliau adalah kakanda kepada Sultan Ismail Petra, maka sokongan ke atasnya adalah jauh lebih kuat kerana ia dibuat oleh dua orang lagi kakanda kepada Sultan Ismail Petra, iaitu Tengku Dato' Rozan dan Tengku Dato' Salwani Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Penentangan Tengku Dato' Merjan dan Tengku Abdul Aziz juga sangat lemah kerana ia hanyalah merupakan satu pandangan peribadi berbanding dengan sokongan kuat Tengku Dato' Mohamad Rizam, Tengku Dato' Rozan dan Tengku Dato' Salwani yang dibuat secara rasmi di atas kapasiti mereka selaku ahli-ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan.

Selain Tengku Dato' Mohamad Rizam (yang merupakan sepupu kepada Tuanku), Tengku Dato' Rozan (yang merupakan bonda saudara kepada Tuanku) dan Tengku Dato' Salwani (yang merupakan bonda saudara kepada Tuanku), pemasyhuran ini juga turut disokong secara rasmi oleh empat orang lagi kerabat terdekat Tuanku Muhammad Faris Petra.

Keempat-empat kerabat terdekat lain yang menyokong pemasyhuran ini adalah:
(i) Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, yang merupakan adinda kepada Tuanku (anakanda lelaki kedua Sultan Ismail Petra).
(ii) Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Dato' Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, yang merupakan datuk saudara kepada Tuanku (adinda kepada Almarhum Sultan Yahya Petra).
(iii) Tengku Dato' Faridah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, yang merupakan nenda saudara kepada Tuanku (adinda kepada Almarhum Sultan Yahya Petra).
(iv) Kapten Tengku Dato' Ahmad Farizanudean Dato' Khairi, yang merupakan ayahanda sepupu kepada Tuanku (anakanda kepada Tengku Dato' Faridah).

Berdasarkan kepada hakikat ini maka ternyatalah laporan akhbar Kosmo! bertajuk “Keluarga pertikai pemasyhuran Tengku Faris” itu adalah tidak benar dan dibuat dengan niat yang tidak baik, iaitu untuk memberikan gambaran kepada rakyat bahawa pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra tidak disokong oleh kerabat Baginda.

Selain kerabat yang menyokong pemasyhuran ini secara rasmi di atas kapasiti mereka selaku ahli-ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan, hampir keseluruhan kerabat lain turut menyokongnya di mana sokongan ini jelas tergambar melalui kehadiran mereka di dalam upacara yang berlangsung di Istana Balai Besar pada 13 September 2010 itu.

Pertikaian ke atas perlantikan Tuanku Muhammad Faris Petra ini juga tidak sepatutnya timbul kerana selain dibuat oleh kerabat terdekat Baginda, turut terlibat di dalam perlantikan Baginda pada 13 September 2010 itu adalah sekumpulan ahli-ahli lain Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang sangat berwibawa di dalam bidang masing-masing.

Selain dua orang hakim terkenal, iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Hashim Yusoff, dan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Dato' Daud Muhammad, terlibat sama di dalam perlantikan ini ialah dua orang ulama' tempatan, iaitu Mufti dan Timbalan Mufti Kerajaan Kelantan, Dato' Mohamad Shukri Mohamad dan Dato' Che Mohd Rahim Jusoh.

Terlibat sama di dalamnya ialah seorang pegawai tinggi dan seorang bekas pegawai tinggi kerajaan negeri, iaitu Dato' Mohd Aiseri Alias (Setiausaha Kerajaan Kelantan) dan Dato' Nik Ishak Dato' Nik Daud yang turut mempunyai pengalaman yang cukup luas di dalam istiadat istana selaku bekas Ketua Istiadat Istana Kelantan.

Mewakili rakyat pula adalah Dato' Wan Hashim Wan Ahmad yang, selain merupakan seorang peguam, pernah berkhidmat selaku Ahli EXCO Kerajaan Kelantan selama tiga penggal setelah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Peringat pada tahun 1978 dan 1982 serta kerusi Dewan Undangan Negeri Padang Garong pada tahun 1990.

Seorang lagi tokoh penting di dalam proses perlantikan ini ialah Dato' Sukri Mohamed yang, selain pernah dipilih menjadi Ahli Parlimen Malaysia selama dua penggal setelah memenangi kerusi Kok Lanas pada tahun 1990 serta kerusi Machang pada tahun 1995, mempunyai pengalaman yang cukup luas di dalam bidang guaman di samping mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan Istana Kelantan sejak sekian lama.

Oleh itu, kepada akhbar Kosmo!, akhbar Utusan Malaysia, Tengku Dato' Merjan, Tengku Abdul Aziz mahupun kepada mana-mana lagi pihak yang masih mempunyai niat untuk mempertikaikan pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra ini, percayalah, usaha anda tidak akan ke mana-mana, terimalah sahaja takdir Ilahi ke atas Baginda ini.

Allahu Akbar.