Friday, September 10, 2010

POSTING 31: LAPORAN UTUSAN MALAYSIA MENGENAI PEMASYHURAN TENGKU MUHAMMAD FARIS PETRA

Laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 10 September 2010, bertajuk “Tengku Faris Sultan Kelantan?”, adalah dirujuk.

Kami di The Kelantan Insider merasa terkejut dengan “kebolehan” akhbar Utusan Malaysia menyiarkan satu laporan yang cukup sensasi pada hari raya yang mulia ini dengan hanya berpandukan kepada kata-kata sumber-sumber yang tidak dikenal pasti.

Sehubungan dengan itu, kami suka mengingatkan akhbar-akhbar tempatan supaya lebih berhemah dan bertanggungjawab di dalam menyiarkan sebarang laporan mengenai Istana Kelantan, apatah lagi jika laporan itu mempunyai nilai kesensasian yang tinggi.

Tanpa mengira sama ada sesuatu laporan itu mempunyai kebenaran ataupun tidak, akhbar-akhbar tempatan seharusnya mengikuti apa-apa peraturan yang telah ditetapkan di dalam melaporkan sebarang berita yang ada hubung-kaitnya dengan Istana Kelantan.

Pejabat Sultan Kelantan mempunyai carta organisasinya yang tersendiri di mana ia adalah diketuai oleh Pengelola Istana D’Raja, Datuk Abdul Halim Hamad, yang melaksanakan tugas beliau dengan berpandukan kepada titah-titah Pemangku Raja Kelantan.

Oleh itu, akhbar-akhbar tempatan mahupun mana-mana media lain sewajarnya merujuk kepada Datuk Abdul Halim Hamad ataupun pegawai-pegawai beliau, khususnya Pegawai Media, dahulu sebelum menyiarkan apa-apa laporan mengenai Istana Kelantan.

Kami faham bahawa memperolehi “scoop” adalah satu keutamaan kepada mana-mana media, tetapi perlulah diingat bahawa di dalam keghairahan berbuat demikian tata susila juga perlulah sentiasa dijaga, lainlah jika media itu memang memiliki agenda tertentu.

Jika pada hari ini anda memilih untuk menyusahkan pihak lain, janganlah pula anda menyalahkan pihak itu jika anda berhadapan dengan kesusahan untuk mendapatkan apa-apa berita pada hari esoknya. Setiap yang berlaku tentulah ada sebab-musababnya.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin, dari kami.

Disertakan di sini laporan akhbar yang berkaitan.

Tengku Faris Sultan Kelantan?
(Utusan Malaysia, 10 September 2010)

KOTA BHARU 9 Sept. – Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, dipercayai akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Isnin ini bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra, yang gering sejak setahun lalu.
Istiadat pemasyhuran itu dikatakan bakal dilangsungkan di Balairong Seri Istana Balai Besar di sini bermula pada pukul 11.30 pagi.
Terdahulu, Utusan Malaysia telah dimaklumkan satu program khas akan diadakan pada hari tersebut di Istana Balai Besar dan meminta wartawan serta jurugambar memakai pakaian kebangsaan berwarna hitam mengikut protokol rasmi.
Bagaimanapun pegawai terbabit tidak mendedahkan secara terperinci mengenai program itu dan maklumat lengkap akan hanya disampaikan kepada media pada hari berkenaan.
Sementara itu sumber lain memberitahu, istiadat pemasyhuran tersebut akan dilangsungkan selepas mesyuarat penuh kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada sebelah pagi.
“Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga diminta hadir pada istiadat tersebut dengan berpakaian lengkap mengikut istiadat istana.
“Pihak polis juga diarah supaya meningkatkan kawalan keselamatan pada hari berkenaan malah cuti anggota polis sempena Hari Raya Aidilfitri di beberapa unit tertentu turut ditarik balik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Spekulasi mengenai pertabalan Sultan Kelantan yang baru bertiup kencang sejak seminggu lalu dan beberapa petunjuk seperti yang dinyatakan sebelum ini seolah-olah mengesahkannya.
Sebelum ini, Institusi Diraja Kelantan dilanda krisis yang berpanjangan sejak Tuanku Ismail Petra gering dan mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, pada 14 Mei 2009.
Ekoran itu, Tengku Muhammad Faris yang juga anakanda sulung baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja sebelum baginda berangkat ke Hospital Mount Elizabeth.
Sementara itu, seorang ADUN yang enggan identitinya didedahkan mengesahkan beliau telah menerima jemputan ke Istana Balai Besar dengan pakaian istiadat tetapi beliau tidak dimaklumkan mengenai majlis tersebut.
“Ya saya menerima jemputan untuk ke Istana Balai Besar pada hari raya keempat tetapi saya tidak diberitahu majlis apa. Kami cuma diarahkan supaya memakai baju Melayu hitam mengikut istiadat rasmi diraja,” katanya.